Siri Terjah : Kaprima Hulu Seladang Valey Farm (KHSVF), Terengganu

KHSVF ini sebenarnya diuruskan oleh Tenox Plantation (M) Sdn Bhd yang dimiliki oleh Tuan Hariz. Lawatan ke KHSVF diadakan di sebelah petang. Temujanji sekitar 4.30 petang tetapi saya terlewat sekitar jam 5.00 petang atas sedikit masalah teknikal.
Apabila sampai di Kampung Seladang masih tidak kelihata KHSVF. Masih tertanya-tanya dimanakah ladang tersebut berada. Saya terpaksa mengekori kenderaan Tuan Hariz masuk ke kawasan ladang. Jaraknya dari jalan utama sekitar 3 - 6 kilometer. Apabila sampai ke ladang, sangat terpegun dengan keluasan ladang tersebut iaitu 50 ekar.
Sampai di ladang, saya di sambut penuh mesra oleh Tuan Hariz. Kami berkenalan terlebih dahulu, maklumlah loghat utara saya menyebabkan dia sedikit pelik saya datang dari Besut dan saya datang berseorangan. Kemudian saya dibawa ke salah sebuah kandang kambing dewasa yang menempatkan kambing Seanan yang dikacukan dengan kambing Janampari.
Menurut Tuan Hariz, antara sebab kambing ini dikacukkan adalah untuk mendapatkan susu yang banyak, sedap dan susunya tidak terlampau cair. Pengurusan di ladang ini adalah sangat baik yang mana setiap nutrien diberi berasingkan mengikut kehendak kambing itu sendiri. Jadual pemakanan kambing diberikan sehari sebanyak 3 kali sehari (pagi, tengah hari dan petang). Sekali rumput segar dan dua kali lagi adalah pallet dengan sukatan dan ramuan yang dirumuskan oleh pihak KHSVF sendiri.

Di KHSVF, terdapat lima kandang yang terdiri kandang beranak, anak dan dewasa. Setiap kelahiran selepas cerai susu akan di pindahkan ke kandang berlainan. Keluasan setiap kandang adalan 20x110 kaki persegi. Bagi petak dewasa, tidak wujud petak yang banyak memudahkan kambing bergerak atau berlari dengan aktif untuk mengelakkan kambing tidak cergas. Apabila kambing tidak cergas akan mempengaruhi pembesaran dan pembesaran lebih kepada lemak dan bukannya otot.
KHSVF juga mengamalkan sepenuhnya konsep sistem penternakan secara insentif (berkurung). Seterusnya, saya dibawa pula satu lagi kandang dewasa yang mana kandang tersebut merupakan kandang bagi kacukan kambing Seanan dengan Etawa. Kapasiti ternakan di KHSVF dalam satu masa adalah antara 300 hingga 400 ekor.
Ternakan yang terlalu banyak akan menyebabkan kos operasi semakin meningkat. Dari segi pengurusan penyakit ternakan pula, KHSVF menjalankan kegiatan rutin sebulan sekali untuk memeriksa setiap ternakan mengikut aspek-aspek tertentu supaya setiap ternakan dalam keadaan yang terbaik.

Selain itu rumput zanzibar, tanaman hijau yang mempunyai protien tinggi seperti pokok Moringga atau dalam bahasa kampung pokok munggai turut ditanam untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pallet. Dengan itu, kos operasi terutamanya makanan ternakan akan dapat dikurangkan. Bak kata Tuan Hariz, menternak itu mudah tetapi untuk mengurangkan kos menternak itu susah tetapi KHSVF sebenarnya sedang berusaha sebaik mungkin dalam mengurangkan kos operasi supaya pendapatan akan lebih meningkat.
Walau bagaimanapun, dalam usaha meningkatkan pendapatan ladang, KHSVF turut menambah pendapatan sampingan dengan mengusahakan beberapa jenis tanaman yang cepat dituai untuk memaksimumkan penggunaan tanah yang sedia ada walaupun fokus utama adalah pengeluaran susu di samping jualan kambing untuk aktiviti aqiqah tersedia. Dengan kekuatan lima orang pekerja asing dan cuma seorang saja yang fokus terhadap ternakan, mereka dapat menjalankan operasi ladang dengan baik.
Dalam pada itu, pihak KHSVF optimis dalam menambah pendapatan mereka melalui pelbagai produk hiliran seperti penggunaan tahi kambing dijadikan baja kompos yang akan di tambah baik supaya lebih efektif dan dapat memberi lebih manfaat kepada para pengguna. Selain itu, KHSVF juga berhasrat menjadikan ladang mereka sebagai salah sebuah tempat agro pelancongan di Terengganu. Insyallah akan menjadi kenyataan.
Di akhir lawatan saya, Tuan Hariz memberi nasihat kepada para penternak yang ingin mencuba bidang ini supaya bermula dengan jumlah ternakan yang sedikit iaitu serendah 10 ekor untuk merasai pengalaman sebenar dunia ternakan dan kemudian barulah menambah ternakan secara berperingkat. Kepada sesiapa yang berminat untuk mengadakan lawatan ke KHSVF bolehlah menghubungi Tuan Hariz di 017-9033144 (call/sms/whats app) atau layari Facebook KHSVF.




