Skip to main content

Boer Baka Emas Industri Ternakan


RAMAI telah mengetahui mengenai kambing dikenali sebagai Boer. Boer, kambing yang dianggap eksklusif kerana harganya yang mahal, kini semakin mendapat perhatian para penternak yang berlumba-lumba untuk menternaknya.

Walaupun demikian, perkembangan industri ternakan kambing tempatan khususnya untuk spesies Boer tidak ke tahap mana kerana berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti masalah kekurangan baka.

Sejarah kambing Boer sebenarnya bermula lebih 10 tahun lalu apabila Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) membawa masuk kambing pedigree dari Afrika Selatan.

Selepas itu, MARDI sekali lagi mengimport kambing Boer fullblood dan kali ini dari Australia pula.

Kambing fullblood adalah kambing Boer yang dilahirkan di Australia hasil embrio yang diimport dari Afrika Selatan atau pembiakan pejantan dan induk betina Boer yang warisannya dari Afrika Selatan.

Kemudian pada 2004, MARDI sekali lagi membawa masuk kambing Boer dan kali ini spesies itu datangnya dari Republik Malawi.

Pegawai Penyelidik Prinsipal, Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi MARDI, Dr. Mohmad Mustafa berkata, gabungan kumpulan kambing Boer yang diimport dari tiga negara itu menjadi teras kepada penubuhan kumpulan nukleus Boer MARDI.

Kumpulan ini mempunyai kepelbagaian sumber genetik yang tinggi dan lebih berkualiti berbanding dengan agensi-agensi penyelidikan tempatan yang lain.

"Biarpun penternakan kambing Boer telah lama di negara ini, tetapi kita masih belum mempunyai ladang stud atau baka tulen dan hanya MARDI yang terlibat dalam ladang nukleus.

''Pemerhatian dan kajian yang dijalankan oleh MARDI menunjukkan kambing Boer mempunyai prestasi yang tinggi dari segi pertumbuhan dan pengeluaran daging" - Dr. Mohmad Mustafa


Walaupun masih belum terdapat ladang stud di negara ini, hasil tunjuk ajar pegawai MARDI kini beberapa syarikat penternakan telah mempunyai ladang pengganda.

Ini termasuk Ladang Satelit Boden dan Subur Sejahtera di Negeri Sembilan, SF Farm Enterprise di Kedah, Sayfull Sdn. Bhd. di Johor dan Syamille Agro Sdn. Bhd. di Perak.

Tahun lalu, ladang MARDI di Kluang, Johor yang bertindak sebagai ladang nukleus Boer telah menerima 1,000 ekor kambing Boer tulen dari Afrika Selatan.

Bagaimanapun pihak swasta perlu mengambil bahagian dalam membentuk ladang stud memandangkan fungsi MARDI adalah menjalankan penyelidikan.

"Penternak perlu belajar kelebihan dan keperluan dalam segi pemakanan bagi membolehkan kambing membesar sehingga 300 hingga 400 gram sehari atau sehingga hingga 12 kilogram sebulan." - Dr. Mohmad Mustafa


BERPOTENSI BESAR

Ternakan kambing Boer berpotensi besar sebagai kambing pedaging kerana lebih menguntungkan dengan menghasilkan daging merah yang enak dan berkhasiat serta kandungan kolestrol lebih rendah daripada ayam.

Daging kambing juga boleh dimakan tidak kira bangsa dan mempunyai potensi besar. Industri tempatan hanya mempunyai kurang dari 300,000 ekor kambing dan hanya dapat menampung keperluan sara diri 10 peratus.

Kerajaan menyasarkan menjelang tahun 2015 dengan sasaran sara diri sebanyak 35 peratus atau satu juta induk kambing.

Kini, negara mengimport daging kambing bernilai RM150 juta setahun atau 25,000 tan metrik dan kebanyakannya adalah daging biri-biri dari Australia. Daging Boer juga sebenarnya boleh dikatakan tidak terdapat di pasaran.

Biasanya daging biri-biri import lebih murah tetapi mempunyai kolestrol yang tinggi.

Daging kambing Boer adalah eksklusif dengan harga yang tinggi dan tidak boleh bersaing dengan ayam.

Malah daging kambing Boer adalah sumber protein yang berkualiti dan pengguna bersedia untuk membayar walaupun harganya lebih mahal.

Begitupun, MARDI telah menjalankan banyak penyelidikan tetapi tahap pengeluaran daging kambing masih rendah.

''Masih banyak teknologi yang perlu dipindahkan kepada penternak sama ada kepada penternak ladang pengganda atau komersial,'' katanya.

Kerajaan melihat projek ternakan kambing Boer berupaya membasmi kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar dan ibu tunggal terutama dalam peringkat ternakan komersial.

MARDI bertindak sebagai nukleus yang terlibat dalam menjalankan kajian meningkatkan kualiti dan produktiviti bagi menghasilkan baka kambing Boer bermutu tinggi.

Sementara penternak pengganda akan terlibat dalam menggandakan bilangan baka kambing Boer bagi kegunaan penternak komersial.

Secara tidak langsung, ini akan meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar.

Bagaimanapun penternak yang terlibat perlu menjalankan operasi dengan kaedah yang betul bagi mendapat pendapatan yang lumayan.

"MARDI dan Marditech memainkan peranan dalam mengimport dan memberikan kursus berkaitan ternakan kambing," katanya.

Justeru MARDI baru-baru ini telah mendapatkan bantuan daripada pakar Boer Afrika Selatan bagi membantu meningkatkan kualiti ternakan.

''Ternakan kambing Boer di negara ini mempunyai masa depan yang cerah kerana terdapat pasaran dan permintaan." - Stephanus W.,Pengerusi Persatuan Kambing Boer Afrika Selatan


"Bagaimanapun sudah pasti sesuatu yang baru akan menghadapi pelbagai masalah. Tetapi dengan nasihat dan keyakinan yang ada pada penternak ladang pengganda dan komersial maka boleh menyelesaikannya dengan baik.

''Banyak yang perlu dipelajari memandangkan kambing Boer bukan haiwan asal di sini," katanya selepas menyampaikan taklimat kursus mengenai ternakan kambing Boer kepada beberapa agensi kerajaan dan swasta di ibu pejabat MARDI, Serdang, Selangor baru-baru ini.

Keupayaan MARDI telah terbukti berjaya dengan melahirkan ladang-ladang pengganda yang berpotensi menjadi ladang stud Boer.

Malan yang telah beberapa kali ke negara ini dan melawat ladang pengganda berkata, industri ternakan memerlukan penglibatan pihak swasta

Manakala tugas MARDI adalah membantu dalam mempersiapkan ladang kecil untuk menjadi ladang pengganda bagi mengeluarkan baka-baka kambing bermutu.

Adalah menjadi hasrat MARDI untuk mewujudkan sekurang-kurangnya enam ladang pengganda kambing Boer setiap tahun dan terkini adalah di tapak tanah rezab Veterinar di Air Guring, Jeli, Kelantan.

''Ternakan kambing Boer merupakan industri baru yang perlu diberikan perhatian khusus kerana kuasa ekonomi baru beralih ke Timur - China dan India. - Prof. Gareth Bath,Pensyarah dari University of Pretoria, Afrika Selatan



BERKHASIAT

Permintaan bagi protein yang bermutu tinggi dengan salah satu pilihan adalah daging kambing Boer yang berkhasiat.

"Bagi mendapatkan daging kambing yang berkualiti, kambing Boer perlu mencapai piawaian yang ditetapkan.

"Antaranya kambing Boer perlu mempunyai banyak daging tanpa mengubah fungsi haiwan berkenaan," katanya.

Di Afrika Selatan, kambing Boer merayau antara 25 hingga 35 kilometer sehari bagi mendapatkan makanan.

Oleh kerana kambing bebas membuat pilihan makanan foraj yang terbaik dari kawasan ragutan semulajadi yang luas maka tumbesaran kambing sangat baik.

Menurut Malan, kambing Boer beliau boleh mencapai berat badan purata 35 kg pada umur tiga hingga empat bulan dan berat sehingga 100 kg apabila berumur setahun.

Beliau berkata, purata kenaikan berat badan harian kambing Boer yang baik boleh mencapai di antara 300 hingga 400 g sehari.

Bagi memulakan ladang stud, penternak tidak memerlukan kambing yang banyak, hanya sekurang-kurangnya 25 ekor betina dan seekor jantan.

Ladang stud akan diperiksa setiap dua tahun bagi memastikan ia memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Biasanya kambing Boer stud mempunyai ciri-ciri tertentu seperti bentuk kepala yang maskulin, dada yang bidang, badan yang panjang, paha yang besar dan kaki yang tegap.

[Sumber Berita : Utusan Malaysia ]



Comments

Popular posts from this blog

Penggunaan EM Satu Pilihan Untuk Ternakan

Assalamualaikum, sudah jarang post berkaitan ternakan semenjang dua menjak ni disebabkan sibuk dengan tugas lain. Ok, sekerang kita cerita tentang EM yang mana ini penting bagi sesiapa terutama penternak baru yang membina kandang berhampiran dengan rumah. Banyak lagi kegunaan dalam dunia penternakan. Sebelum kita cerita kelebihan EM, elok kita tahu definisi EM. APA ITU EM EM ini adalah singkatan bagi Efektif Microorganisma. EM terbentuk daripada kombinasi mikroorganisma yang berguna yang mana banyak terdapat dalam alam semulajadi. Kombinasi ini mambantu meningkatkan daya ketahanan semulajadi pada tanah, tanaman atau tumbuhan, manusia dan ternakan atau haiwan. Justeru itu, penggunaan EM ini dapatlah dikatakan membantu meningkatkan kualiti dan kesuburan tanah dan seterusnya membantu pertumbuhan dan kualiti tanaman. Sebenarnya penggunaan EM ini telah digunakan meluas di negara-negara asing khususnya di Jepun, Europe dan Amerika sejak penemuannya oleh Prof. Teruo Higa dari

6 Panduan Penting Penanaman Napier Secara Perdu

Assalamualaikum, topik hari ini adalah berkaitan rumput napier. Pelbagai-bagai jenis napier yang kita dengar seperti Napier Taiwan, India, Dwarf (pandan), Zanzibar (Susu) dan lain-lain. Walaubagaimana pun, bagi yang baru menceburi bidang penternakan pastinya agak blur dalam kaedah penanaman rumput terutama rumput napier. Bagi yang berskala besar pula biasanya mempunyai masalah ketika menuai rumput disebabkan benih mati ketika dituai menggunakan jentera. Justeru itu, pengenalan tanaman rumput napier menggunakan kaedah perdu diperkenalkan. Berikut merupakan beberapa aspek atau panduan asas dalam penenaman rumput napier iaitu Napier Zanzibar secara perdu. 1. JARAK Jarak yang ideal di antara satu lubang dengan lubang 10 kaki x 10 kaki. Dengan jarak ini adalah akan memudahkan jentera ketika musim penuaian. Kebiasaanya satu ekar akan memperolehi sekitar 400 perdu. Namun ia turut bergantung pada bentuk muka bumi. 2. DIAMETER Diameter setiap perdu adalah 3 kaki persegi. I

Kambing Boer Pengganti Tongkat Ali?

Lelaki yang mengharapkan Tongkat Ali bagi memberikan `tenaga tambahan' kini boleh mencuba daging kambing Boer yang diternak di beberapa tempat di negara ini bagi mendapatkan tenaga yang sama. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim, berkata keupayaan kambing jantan Boer mengawan dengan kira-kira 50 ekor kambing betina pada musim mengawan (kira-kira dua bulan) seharusnya menyebabkan dagingnya mampu menawarkan `khasiat' kepada mereka yang memakannya. Tambahan pula katanya, akar Tongkat Ali semakin pupus berikutan permintaan yang meningkat, sedangkan kambing Boer boleh membiak. "Saya tak faham kenapa ada di antara kita yang kata tak boleh makan kambing kerana takut pening kepala. Tapi, bila berada di Makkah, kita boleh hentam (makan) kambing setiap sehari selama sebulan." - Datuk Azhar Ibrahim "Ada juga orang kita yang sanggup beli biawak pasir (dhab) dari negara Arab, semata-mata bagi menambahkan tenaga. Saya fikir